Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck : Terima Kasih Buya Hamka

Adalah sesuatu yang pelik bagi orang seperti saya belajar agama tidak membaca karya agung Buya Hamka iaitu Tenggelam Kapal Van Der Wijck.

Selain tidak ada dalam simpanan peribadi. Seringkali tertangguh untuk membacanya. Malam semalam saya menonton filemnya. Ya, baru kali ini berkesempatan menontonnya.

Kisah cinta Zainuddin dan Hayati tidak meruntunkan hati saya sebagai mana saya melihat tindakan Bang Muluk. Sikap Bang Muluk yang berusaha menasihati Zainuddin agar bangkit kembali. Berikut petikan kata-kata Bang Muluk dari filem ini;

“Hei, berhentilah bersedih begini, Engku. Terjadi sudahlah terjadi. Engku, engku dah banyak menuntut ilmu di siko. Budi pekerti dan kesopanan dengan pemikiran yang luas pun sudah engku raih.”

”Janganlah lebih lemah dari pada para-para kami yang tidak kenal baca bismillah. Tidak baik hidup yang mulia ini, terkurung semata-mata karena memikirkan perempuan. Perempuan yang Engku junjung tinggi itu telah berkhianat, dan memungkiri janjinya.”

”Di sini Engku sengsara bersakit-sakit, sedangkan dia? Dia sedang menikmati masa pengantin baru dengan suaminya.”

“Engku ni orang pintar, kenapa harus hancur oleh perempuan. Dimana letak pertahanan kehormatan yang terletak pada seseorang laki-laki, ha.”

“Jangan mau hidup engku dirusak, binasakan oleh seorang perempuan itu. Engku mesti tegak kembali. Coba lagi engku lihat dunia lebih luas dan masuk ke dalamnya.”

“Di sana banyak kebahagiaan dan ketenteraman yang tersimpan. Engku pasti bisa melakukannya. Dan mengecap bagaimana nikmat kebahagiaan dan keberuntungan itu.

“Cinta bukan mengajarkan kita untuk menjadi lemah, tetapi membangkitkan kekuatan.”

“Cinta bukan melemahkan semangat tapi membangkitkan semangat. Tunjukkan pada perempuan itu, bahwa engku tidak akan mati, lantaran dibunuhnya.”

Saya tidak pernah membaca novel asal, segera saya mencari novel asal dan membaca babak ini. Babak Bang Muluk menasihati Zainuddin. Nasihatnya lebih panjang di dalam novel, lebih mengesankan hati, membekas di jiwa. Masya Allah, hebat sekali nasihatnya.

Apabila mengkaji sirah Nabi dari hati. Melihat karakter Bang Muluk, saya terlintas Saidina Abu Bakar al-Siddiq, sahabat karib Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam.

Abu Bakar al-Siddiq, orang terawal yang menerima Islam. Dalam sebuah hadith disebut, 4 orang terawal menerima Islam, seorang wanita, seorang kanak-kanak, seorang hamba dan Abu Bakar. – Sahih al-Bukhari

Sahabat sejati setia hingga hujung nyawa baginda. Tidak peduli apa yang keluar dari mulut Nabi. Dia akan membenarkannya tanpa tanya, tanpa sedetik ragu.

Di saat orang Islam Mekah berkemas mahu berhijrah ke Madinah. Abu Bakar juga turut sama berkemas. Bertemu Nabi Muhammad, baginda berkata, “Tangguhkanlah dahulu.”

Abu Bakar bertanya, “Tuan perlukan teman?” Nabi menjawab, “Ya, perlukan teman.”

Tanpa apa jua soal, Abu Bakar setia menunggu baginda di rumah. Disiapkan dua ekor unta untuk urusan musafir panjang ini.

Menemani baginda di dalam Gua Tsur sementara menunggu tindakan orang Mekah. Di waktu malam, Abu Bakar berkata kepada Nabi, “Tidurlah di sini.” Sambil menghulurkan ribanya sebagai bantal untuk baginda Nabi.

Risau dan resah difikirkan Abu Bakar. Takut nanti orang Mekah menemui tempat sembunyi mereka. Sampai di satu saat, orang kafir Mekah sudah sampai di pintu gua. Abu Bakar ternampak bayang-bayang kaki mereka.

Hatinya bertambah bimbang. “Seandainya salah seorang mereka tunduk sahaja, tentu mereka akan nampak kita,” kata Abu Bakar.

Nabi Muhammad berkata, “Adakah saudara menyangka kita berdua sahaja di sini. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.”

(Gambar Hiasan)

Dalam perjalanan, Abu Bakar masih menjaga keselamatan baginda. Sekejap beliau di depan, sekejap beliau di belakang. Risaukan keselamatan Nabi.

Abu Bakar seringkali diminta pandangannya daripada baginda Nabi. Diutarakan pandangan seikhlas hati. Percayanya Nabi kepada Abu Bakar sehingga layak menggantikan baginda di tempat imam solat.

Pernah dalam satu hari, seorang lelaki bertemu Nabi dan bertanya perihal Islam. Apabila mahu pulang, lelaki itu berkata, “Apabila saya datang lagi dan tuan tidak ada di sini, bagaimana?”

Nabi Muhammad menjawab, “Saudara boleh berjumpa dengan Abu Bakar.” -Sahih al-Bukhari

Bang Muluk itu jauh sekali dengan karakter Saidina Abu Bakar. Cuma melihat watak itu, membuatkan saya teringatkan Abu Bakar al-Siddiq.

Abdullah bin Utbah menceritakan, “Ketika Perang Badar, Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam melihat kaum musyrikin yang sangat ramai, lalu melihat pula kepada kaum muslimin yang sangat sedikit. Beliau mengerjakan solat dua rakaat sementara itu Abu Bakr berdiri di sebelah kanan.

Rasulullah berdoa dalam solat, “Ya Allah, jangan biarkan aku. Ya Allah, jangan abaikan aku. Ya Allah, jangan tinggalkan aku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu apa yang Engkau janjikan kepadaku.”

Abu Bakr datang kepada baginda dan mengambil selendang dan meletakkan di bahu baginda. Lalu beliau memegang belakang baginda dan berkata, “Cukuplah permohonan tuan kepada Tuhan. Sungguh Allah akan menunaikan apa yang telah dijanjikan-Nya kepada tuan.” – Sahih Muslim

Begitulah Abu Bakr al-Siddiq, menenangkan Nabi di kala risau. Memberi semangat di saat baginda sangat bimbang dengan keselamatan orang Islam di Badar.

Di saat Nabi wafat, Abu Bakr tenang sahaja. Kekasih hatinya selama ini hidup bersama telah pergi buat selama-lamanya. Dua puluh tiga tahun bersama berjuang dalam Islam.

Dikucup wajah baginda, sambil berkata, “Sungguh harum baumu di saat hidup atau pun ketika wafat. Dirimu tidak akan merasai dua kematian.”

Perlahan-lahan beliau keluar dari rumah Nabi. Orang ramai memenuhi ruang halaman menunggu penuh sabar. Saidina Umar memandang hiba wajah sahabat karibnya Abu Bakar yang mulia.

Sebelum memulakan ucapan, Abu Bakar memuji-muji Allah. Seterusnya beliau melanjutkan, “Ingatlah, sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah pun wafat. Dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak mati.”

Abu Bakar membaca sepotong ayat;

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.” – Surah al-Zumar ayat 30

Kemudian Abu Bakar membacakan ayat ini pula;

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” – Surah Ali Imran ayat 144

Para sahabat yang mendengarnya menangis teresak-esak. – Sahih al-Bukhari

Begitulah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, setia hingga hujung nyawa baginda Rasulullah. Sanggup bersama baginda di saat susah dan senang. Mendengar dengan teliti nasihat baginda. Berkongsi rasa bersama. Berkongsi makan minum bersama.

Mencari ‘Abu Bakar’ dalam hidup ini bukan semudah yang disangka. Orang yang ikhlas percaya pada perjuangan kita. Wujudkah ‘Abu Bakar’ itu dalam hidup kita? Sanggupkah dia bersama-sama kita berjuang bersama?

Terima kasih Buya Hamka, meneliti karya tuan. Hamba teringatkan sahabat baginda Nabi yang mulia, Abu Bakar namanya.

Dapatkan ebook Nota Serius Hadith & Sirah di sini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *