Skil Pemimpin di Saat Kritikal

Apabila saya meneliti tindakan para pemimpin sama ada di negara kita Malaysia atau di peringkat dunia termasuk peringkat kerajaan negeri dalam negara kita. Kita dapat lihat bagaimana cara para pemimpin bertindak dan berfikir di dalam saat kritikal begini. Ada kalanya, tindakan yang dibuat sangat baik dan banyak membantu rakyat dalam menghadapi situasi kritikal begini. Ada pula yang dilihat tergesa-gesa membuat keputusan tanpa meneliti lebih dalam dan teliti kesan buruk yang akan terjadi. Di samping itu, ada juga yang membuat keputusan yang tidak masuk akal sehingga diketawakan oleh rakyat sendiri.

Apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan genting begini. Kepantasan membuat keputusan adalah penting bagi seorang pemimpin. Cara pemimpin menyusun strategi dan membuat keputusan akan memberi impak yang besar kepada situasi rakyat. Silap percaturan dan keputusan, akan memberi kesan buruk yang teruk kepada rakyat secara umum.

Skil utama yang perlu ada kepada pemimpin apabila berhadapan situasi kritikal ialah skil membuat keputusan tepat dan pantas. Pantas membuat keputusan itu tidaklah susah, tetapi memilih keputusan yang tepat itu sesuatu yang menjerumuskan rakyat ke dalam kecelakaan yang besar.

Lazimnya, sebagai manusia biasa yang ada sifat takut dan bimbang berhadapan dengan risiko sosial yang akan dihadapi. Tindakan yang akan berlaku ialah tidak bertindak apa-apa dan hanya tunggu dan lihat. Menunggu terlebih dahulu untuk melihat apa yang akan terjadi, barulah mahu diambil tindakan untuk menyelesaikan isu itu. Sedangkan isu itu telah pun merugikan ramai rakyat dan orang ramai. Penyelesaian yang lewat dikemukakan tidak dapat menanggung kerugian yang ditanggung mereka. Pemimpin begini terkena Omossion Bias iaitu kecenderungan untuk tidak bertindak apa-apa dengan harapan dapat dikurangkan risiko sedangkan ia lebih merugikan dan menyusahkan dirinya dan orang lain.

Ini yang biasa berlaku kepada orang yang memegang tampuk pemerintahan. Hanya tunggu dan lihat, kemudian baru terhegeh-hegeh menubuhkan jawatankuasa dan bermesyuarat untuk menyelesaikan isu yang telah pun berlaku dan merugikan semua orang. Seperti kata pepatah ‘sudah terhantuk barulah terngadah’. Mengapa orang begini tidak dapat bertindak lebih awal? Mereka tidak ada kekuatan emosi untuk menghadapi risiko sosial yang mereka akan terima daripada kecaman rakyat. Mereka juga tidak ada skil membuat keputusan yang pantas dan tepat. Keputusan yang tepat itu bergantung kepada cara kita melihat dan membuat andaian berfakta berdasarkan data-data dan situasi yang pernah berlaku di tempat lain sama ada melalui pengalaman sendiri atau pun pengalaman orang lain.

Skil ini datang daripada cara ia dipupuk sejak dari kecil hingga dewasa. Skil melihat pattern dan pola perubahan di sekeliling kita. Di sinilah para nabi khususnya Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam belajar melalui menggembala kambing. Di sini mereka akan belajar melihat pattern dan pola perubahan setiap ekor kambing dari segi saiz, bentuk, warna dan tingkah laku kambing.

Apabila menginjak dewasa, diperhatikan pula pattern yang wujud di kalangan manusia dan alam sekeliling. Melalui maklumat-maklumat begini, keputusan pantas dan tepat akan dapat dibuat apabila seorang pemimpin mempunyai skil sebegini.

Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, kita dapat lihat bagaimana Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam membuat keputusan pantas dan tepat sewaktu berunding dengan pihak Quraisy. Setiap kali datang perunding daripada pihak Quraisy, baginda akan melakukan ‘framing’ bagi memudahkan urusan perundingan. Bagaimana caranya?

Memandangkan Rasulullah merupakan penduduk asal Kota Mekah, baginda sangat mengenali personaliti setiap orang yang datang untuk berunding dengan pihak baginda. Contohnya, apabila orang Quraisy menghantar Mikraz bin Hafs bin Akyaf, baginda bersabda, “Dia ini licik orangnya.”

Apabila selesai berunding dan tidak mendapat kata putus. Orang Quraisy menghantar Hulais bin Alqamah. Apabila Hulais hampir sampai, baginda bersabda kepada para sahabat, “Dia ini daripada kaum yang rajin beribadah. Tunjukkan haiwan-haiwan korban supaya dia dapat melihatnya.”

Apabila Hulais melihat haiwan-haiwan korban yang sudah pun siap ditanda untuk dijadikan korban apabila orang Islam menunaikan umrah nanti. Ia menambat hati Hulais dan percaya bahawa orang Islam memang benar-benar mahu menunaikan ibadah dan bukan untuk berperang.

Lihat bagaimana Rasulullah menyusun taktik dan strategi apabila keputusan segera perlu dibuat. Skil ini bukannya boleh belajar melalui seminar dan ceramah tetapi melalui proses dan latihan dalam kehidupan yang lama. Apabila berlaku situasi yang kritikal, para pemimpin yang menjaga negara mesti membuat prediction melalui data dan maklumat daripada pakar supaya dapat dibuat keputusan segera supaya dapat mengelak daripada berlaku kerugian dan kemusnahan yang berganda.

Menjadi pemimpin biarlah seperti kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung ketika hujan.

Saifuddin Yusof
Berfikir dari mata helang bukan dari mata belalang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *