PRN 2020 : Nota Untuk Orang Sabah

Melalui sistem demokrasi, memilih pemimpin itu menjadi tanggungjawab rakyat.

Sebagai mana makmum memilih imam yang betul sebelum solat berjemaah supaya melaksanakan solat dengan betul dan tidak menzalimi jemaah.

Jabir bin Abdullah melaporkan bahawa suatu hari Mu’az bin Jabal telah menjadi imam solat Isyak. Beliau memanjangkan bacaan solat sehingga seorang lelaki yang menjadi makmum mempunyai hajat memutuskan ikutan kepada imam dan solat bersendirian. Kemudian lelaki itu beredar.

Apabila Nabi Muhammad Sollahu ’Alayhi wa Sallam mengetahui peristiwa itu. Baginda berasa marah lalu berkata kepada Mu’az, “Adakah kamu mahu menjadi orang yang menimbulkan fitnah? Bukankah lebih baik bagi kamu menunaikan solat dengan membaca Wasy Syamsi wa Dhuhaha dan
Sabbahis Marabbukal A’la . Orang yang solat di belakang kamu itu ada orang tua, orang yang lemah dan orang yang mempunyai hajat segera. – Sahih al-Bukhari

Rasulullah memarahi Mu’az apabila beliau menzalimi makmum dengan membaca surah yang terlalu panjang sehingga menyusahkan makmum.

Sebagai rakyat yang memilih pemimpin, janganlah memilihpemimpin yang menzalimi rakyat, pemimpin yang bersekongkol dengan orang zalim, atau yang diam dan masih menyokong pemimpin yang zalim.

Allah telah memberi amaran di dalam Al-Quran apabila kita cenderung kepada kezaliman.

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” – Surah Hud ayat 113

Seorang salafussoleh Sufyan al-Thawri pernah berkata, “Menjahit baju pemimpn yang zalim juga dikira sebagai zalim.”

Orang bijak pandai dan berilmu mesti ke depan untuk memerangi kezaliman yang telah menindas rakyat. Janganlah periuk nasi dan tembolok sendiri. Ini pesanan Allah yang terang dan jelas.

فَلَوۡلَا كَانَ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مِن قَبۡلِكُمۡ أُوْلُواْ بَقِيَّةٖ يَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡفَسَادِ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا قَلِيلٗا مِّمَّنۡ أَنجَيۡنَا مِنۡهُمۡۗ وَٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مَآ أُتۡرِفُواْ فِيهِ وَكَانُواْ مُجۡرِمِينَ ١١٦

“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” – Surah Hud ayat 116.

Orang yang memiliki pengetahun dan kemampuan, mesti ke hadapan menyatakan kebenaran. Tidak kiralah kelompok mana sekali pun. Kebenaran dan keadilan mesti diutamakan kepada rakyat.

Memanglah Allah itu akan membinasakan negeri yang mana Dia kehendaki. Tetapi selagi mana kita berusaha membetulkannya, berusaha mencegah kemungkaran dan menggalakan perbuatan yang baik. Allah akan sentiasa melebarkan rahmat-Nya ke seluruh negeri.

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ بِظُلۡمٖ وَأَهۡلُهَا مُصۡلِحُونَ ١١٧

“Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.” – Surah Hud ayat 117

Ingat pesan Nabi Muhammad yang mulia tentang bangsa, suku dan warna kulit. Baginda bersabda;

“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘Ajam (yang bukan arab), atau ‘Ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan takwa.” – Musnad Ahmad

Saifuddin Yusof
Nyanyi lagu, ‘Marilah mari…, kita mengundi…’

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *