Perceived Value dan Personaliti Nabi Muhammad

Puan Ainon Mohd ada menulis di Facebook.

Perceived Value

Customer tidak membeli produk. Mereka itu beli nilai yang mereka percaya ada pada produk itu. Nilai yang dibeli adalah nilai yang mereka tengok, bukan nilai yang kita terangkan kepada mereka. Kita kata produk kita banyak nilai bagus-bagus, tapi customer tak percaya, mereka takkan mahu beli. Jadi, tugas orang bisnes adalah:

Mencipta nilai
Tunjukkan nilai
Menjual nilai

Nilai yang dibeli customer adalah bergantung pada persepsi mereka, istilahnya perceived value. Apabila mereka tengok, dan pada pandangan mereka produk kita tak bernilai, mereka pun tak mahu beli.

-Tamat petikan-

Istilah ini adalah istilah dalam pemasaran bisnes. Bagaimana digunakan perceived value customer untuk membina dan menjenamakan produk sehingga customer membeli produk dan servis tersebut. Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam tidak menjalankan bisnes yang memberi keuntungan wang. Tetapi kerja-kerja yang baginda lakukan adalah untuk membuatkan penduduk Mekah pada ketika menerima dakwah dan seruan baginda. Sehingga mereka sanggup ‘membeli’ seruan itu dengan nilai sebuah aqidah tauhid kepada Allah melalui hati dan pegangan mereka.

Apakah perceived value Nabi Muhammad bagi penduduk Mekah sebelum dan selepas baginda dilantik menjadi Rasul? Adakah sama?

Ya dan tidak.

Ya, apabila mereka memang percaya kepada kejujuran budi dan akhlak baginda Nabi Muhammad yang terkenal dengan gelaran al-Amin iaitu orang yang jujur, berintegriti dan amanah. Sehinggakan, walaupun baginda dilantik menjadi rasul, ada dalam kalangan orang kafir Quraisy yang meminta bantuan Nabi untuk menyimpan wang mereka di rumah Nabi. Kenapa? Mereka lebih percayakan kejujuran baginda Nabi berbanding keluarga mereka sendiri.

Jadi, kejujuran yang ditunjukkan oleh Nabi itu menjadi perceived value di mata penduduk Mekah. Apakah perceived value di mata Khadijah isteri baginda? Kita lihat peristiwa ini.

Aisyah binti Abu Bakr menceritakan bahawa Nabi Muhammad kembali kepada keluarganya dengan membawa ayat wahyu dalam keadaan gelisah. Beliau menemui Khadijah binti Khawailid lalu berkata, “Selimuti daku, selimuti daku!”

Baginda pun diselimuti hingga hilang ketakutannya.

Kemudian beliau menceritakan peristiwa yang terjadi itu kepada Khadijah, “Saya benar-benar bimbangkan diri saya.”

Khadijah berkata, “Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung silaturrahim, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela yang haq.”– Sahih al-Bukhari

Khadijah sebagai orang yang paling rapat dengan Nabi Muhammad sejak sebelum sehingga selepas menjadi Rasul. Beliau sangat mengenali baginda Nabi yang mulia beliau dapat mengeluarkan 6 personaliti utama Nabi Muhammad sebagai perceived value di fikirannya. Beliau menyenaraikan Nabi sebagai;

  1. Orang yang menghubungkan silaturrahim.
  2. Orang yang bercakap benar.
  3. Orang yang memikul beban orang lain.
  4. Orang yang mengusahakan sesuatu yang tidak ada.
  5. Orang yang meraikan tetamu.
  6. Orang yang sentiasa membela kebenaran.

Apakah perceived value diri kita di mata isteri atau suami apabila dia menerima kita seadanya? Khadijah dapat menyenaraikan satu persatu. Begitu juga dangan Saidina Abu Bakr al-Siddiq.

Saidatina Aisyah melaporkan, sewaktu Abu Bakr dalam perjalanan untuk berhijrah ke Habsyah. Sewaktu sampai di Bark al-Ghimah, beliau bertemu dengan Ibn Daghinah yang merupakan pimpinan tinggi kaum al-Qarah.

Lalu Ibn Daghinah bertanya, “Mahu ke mana wahai Abu Bakr?”

Abu Bakr menjawab, “Saya diusir oleh kaum saya sendiri. Saya mahu pergi ke tempat jauh untuk menyembah Tuhan di sana.”

Ibn Daghinah berkata, “Orang seperti saudara tidak sesuai diusir dan keluar dari kampung halaman. Saudara ialah orang yang sentiasa membantu orang yang tidak punya apa-apa, menyambung silaturrahim, memikul beban orang, meraikan tetamu, menyokong kebenaran walau dari sesiapa pun. Saya akan memberi perlindungan kepada saudara. Pulanglah, sembahlah Tuhan di negeri saudara.” – Sahih al-Bukhari

Ibn Daghinah menyebut 5 personaliti Abu Bakr al-Siddiq sehingga beliau sanggup menjadi penjamin nyawa bagi Abu Bakr. Beliau menyatakan bahawa Abu Bakr itu;

  1. Orang yang sentiasa membantu orang yang tidak punya apa-apa.
  2. Orang yang menyambung silaturrahim.
  3. Orang yang memikul beban orang lain.
  4. Orang yang meraikan tetamu.
  5. Orang yang menyokong kebenaran walau daripada sesiapa pun.

Apakah perceived value diri kita yang dilihat oleh rakan sekeliling kita? Bagaimana mereka menilai diri apabila mereka berkawan dengan kita atau melihat luaran diri kita? Apabila Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul, Allah ‘Azza wa Jalla mendidik baginda supaya menunjukkan personaliti yang terbaik apabila berkomunikasi dengan manusia dan bersosial dengan mereka.

Di dalam surah terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, firman Allah;

Wahai orang yang berselimut!

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi untuk mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar. – Surah al-Muddaththir ayat 1-7

Allah memerintahkan Nabi supaya mengelokkan pakaian apabila berkomunikasi dengan orang ramai. Mengapa? Supaya value yang dilihat terhadap baginda bertambah baik sehingga mereka menerima seruan yang baginda bawa.

Walau bagaimana pun, walau bagaimana baik sekali pun, kesan-kesan buruk daripada orang sekeliling juga Allah perintahkan Nabi Muhammad menjaganya supaya value yang dilihat oleh ramai dan personaliti yang terhasil juga memberi impak yang lebih baik.

Firman Allah;

“Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah).

Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur, supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut.

Dan janganlah engkau menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), – Orang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan, – Orang yang sering menghalang amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa, – Orang yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.” – Surah al-Qalam : 7-13

Apabila Allah mendidik baginda supaya mengawal ruang lingkup sosial di sekeliling supaya tidak menimbulkan apa-apa risiko di kemudian hati. Bayangkan baginda tidak mahu taat apa yang Allah sarankan pada ayat Surah al-Qalam itu? Apakah kemungkinan yang akan berlaku? Baginda mungkin dilihat sebagai orang yang meraikan kejahatan dan dosa apabila dilihat berkawan dan bersama dengan orang-orang yang disenaraikan oleh Allah di dalam Surah al-Qalam itu.

Justeru, apabila kita membentuk satu keadaan yang betul dan tepat, maka perceived value yang dilihat, dirasai oleh orang lain akan elok dan bertambah baik. Konsistensi Nabi Muhammad sejak kecil, remaja, dewasa sehingga menjadi Rasul memberi impak positif walaupun saat kali pertama melihat baginda.

Abdullah bin Salam, menceritakan, “Ketika Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam datang ke Madinah, orang ramai segera pergi menuju kepada baginda Sollahu ‘Alayhi wa Sallam (untuk melihat baginda).

Ada yang mengatakan, ‘Rasulullah telah datang’, lalu saya menuju ke sana di tengah orang ramai itu untuk melihat baginda. Ketika saya melihat wajah Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam, saya mengetahui bahawa wajah baginda bukanlah wajah seorang pembohong.

Dan yang pertama kali baginda ucapkan adalah, ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tidur, tentu saudara semua akan masuk syurga dengan selamat.” – Sunan al-Tirmizi

Walaupun kali pertama Abdullah bin Salam melihat baginda Nabi, beliau memberikan firasat bahawa wajah Nabi itu bukanlah wajah orang yang bercakap bohong. Beliau merupakan seorang ahli kitab yang sangat alim dan berpengetahun tinggi dalam agama samawi. Maka beliau mempunyai firasat yang tinggi apabila melihat penampilan seseorang.

Kesimpulannya, setiap perkara yang kita lakukan atau tunjukkan akan membina persepsi terhadap orang di sekeliling kita. Mereka mahu bekerjasama dengan kita datang daripada apa yang mereka letakkan value diri kita di mata dan fikiran mereka. Bagaimana mereka melihat pada diri kita, akan terbentuk persepsi dalam hati dan fikiran mereka sesuatu yang unik bagi mereka sama ada mereka suka atau sebaliknya.

~Boleh dapatkan ebook Big Why & Goal Setting Rasulullah dan 56 Nota Serius Hadith & Sirah dengan segera.~

Mulai 8-23 Mei 2020, Virtual Summit : Sekolah Penulisan Ramadan berlangsung bersama 25 penyampai dalam bidang kemahiran masing-masing. Maklumat lanjut di sini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *