Information Bias dan Mengapa Kita Tidak Perlu Tahu Nama-nama Ashabul Kahfi.

Sewaktu belajar di sekolah saya suka bertanya di dalam kelas. Sejak kecil lagi saya berpandangan orang tidak akan marah jika saya hanya bertanya soalan. Ketika guru Matematik 5 Dahlia mengajar, beliau bertanya kepada semua murid, “Ada sesiapa tidak faham?”

Saya angkat tangan, “Saya cikgu.”

“Awak tidak faham yang mana?”

“Saya tidak faham semua cikgu.”

Cikgu geram sambil cekak pinggang, “Awak nih!”

Saya sengih macam kerang busuk.

Bertanya itu sesuatu yang bagus apabila kena caranya. Bahkan kita mesti bertanya demi kebaikan bersama. Dalam satu peristiwa, Jabir bin Abdullah, menceritakan, “Kami keluar bermusafir. Tiba-tiba salah seorang daripada kami terkena batu sehingga menyebabkan kepalanya luka. Kemudian dia mengalami mimpi (hingga keluar mani). Selepas terjaga dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Adakah kamu fikir ada keringanan bagiku untuk bertayammum?”

Mereka menjawab: “Kami tidak mendapati keringanan bagi kamu kerana kamu mampu mendapatkan air.”

Lalu dia pun mandi dan terus meninggal dunia. Apabila kami menemui Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam dan memberitahu baginda dan baginda pun bersabda;

“Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.” – Sunan Abu Dawud

Mendapatkan maklumat itu bagus, bahkan dapat menyelamatkan nyawa. Isunya, adakah bagus terlalu banyak bertanya? Firman Allah ‘Azza wa Jalla;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُوا عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللَّـهُ عَنْهَا ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha Penyabar.” – Surah al-Maidah ayat 101

Ibn Abbas memberitahu bahawa Rasulullah Sollahu ‘Alayhi wa Sallam telah menyampaikan khutbah;

“Wahai Manusia, sesungguhnya Allah fardukan ke atas kamu ibadat haji. Lantas bangun al-Aqra’ bin Habis seraya bertanya: “Adakah kewajiban ini pada setiap tahun hai Rasulullah?

Lantas jawab Baginda, “Jika saya katanya ‘Ya’, tentu menjadi wajib, dan jika wajib tentu kamu tidak dapat melakukannya. Haji itu sekali sahaja. Sesiapa yang menambahnya maka hukumnya sunat.” – Musnad Ahmad

Informasi itu secara umumnya bagus, tetapi tidak semestinya baik dalam semua situasi. Ada maklumat yang tidak perlu untuk kita buat keputusan tertentu. Ada keputusan yang memerlukan satu atau dua kategori maklumat sahaja.

Ia bukanlah tentang berapa banyak maklumat yang kita dapat, tetapi bagaimanakah cara kita menganalisis maklumat itu. Keperluan setiap maklumat itu bergantung kepada keputusan apa yang kita mahu putuskan.

Satu hari seorang wanita yang dipanggil al-Ghamidiyyah telah berjumpa Nabi Muhammad Sollahu ‘Alayhi wa Sallam. Wanita itu telah mengaku berzina.

Nabi Muhammad bertanya, “Adakah cikpuan benar-benar melakukannya?”

Wanita itu menjawab, “Ya.”

Nabi Muhammad meminta wali wanita itu menjaganya supaya melahirkan anak dalam kandungan itu.

Selesai sahaja melahirkan anak itu. Wali yang menjaga wanita itu datang berjumpa Nabi Muhammad dan melaporkan bahawa wanita itu telah melahirkan anak.

Nabi Muhammad berkata, “Kita tidak akan merejamnya sehingga membuatkan anaknya terbiar tanpa ada orang menyusukannya.”

Selesai sahaja wanita itu menyusukan anak itu selama 2 tahun. Wanita itu datang bertemu Nabi Muhammad sambil membawa anak itu. Beliau berkata, “Anak ini sudah mampu makan dengan menyuapkan makanan sendiri. Hukumlah saya.”

Lalu Nabi Muhammad memerintahkan supaya dijalankan hukuman rejam. Wanita itu meninggal dunia. Kemudian dipersiapkan jenazahnya untuk disolatkan.

Ada dalam kalangan manusia mencela wanita itu atas perlakuan zinanya. Umar al-Khattab pula berkata, “Adakah tuan akan mensolatkannya, sedangkan dia berzina?”

Ada yang berkata, “Kalaulah dia menutup kesalahannya itu.”

Nabi Muhammad berkata, “Beliau telah bertaubat, dengan taubatnya apabila dibahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, tentu akan cukup semuanya. Apakah ada keadaan lebih baik daripada menyerahkan diri kepada Allah.” – Sahih Muslim

Nabi Muhammad tidak pun bertanya kepada wanita itu dengan siapa beliau berzina, di mana lokasinya, berapa kali ia berlaku, bilakah perbuatan itu bermula, apa perasaan melakukannya kali pertama, apa perasaan dirinya apabila dia hamil, mengapa dia rasa menyesal dan datang mengaku dan sebagainya. Baginda hanya bertanya, maklumat yang perlu sahaja untuk menjatuhkan hukuman iaitu, ‘Adakah cikpuan benar-benar melakukannya?’ Itu sahaja.

Dalam sejarah para nabi, terdapat satu peristiwa di zaman Nabi Musa. Apabila datang perintah Allah, kaum Bani Israel bertanya dan bertanya sehingga hampir tidak mampu melaksanakannya.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تَذْبَحُوا۟ بَقَرَةً ۖ قَالُوٓا۟ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْجَٰهِلِينَ ﴿٦٧﴾

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌۢ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَٱفْعَلُوا۟ مَا تُؤْمَرُونَ ﴿٦٨﴾

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا لَوْنُهَا ۚ قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ صَفْرَآءُ فَاقِعٌ لَّوْنُهَا تَسُرُّ ٱلنَّٰظِرِينَ ﴿٦٩﴾

“Mereka berkata: “Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apa warnanya”. Musa menjawab: “Sesungguhnya Allah berfirman bahwa lembu betina itu adalah lembu betina yang kuning, yang kuning tua warnanya, lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya”.”

قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ إِنَّ ٱلْبَقَرَ تَشَٰبَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّآ إِن شَآءَ ٱللَّهُ لَمُهْتَدُونَ ﴿٧٠﴾

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا ذَلُولٌ تُثِيرُ ٱلْأَرْضَ وَلَا تَسْقِى ٱلْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌ لَّا شِيَةَ فِيهَا ۚ قَالُوا۟ ٱلْـَٰٔنَ جِئْتَ بِٱلْحَقِّ ۚ فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا۟ يَفْعَلُونَ ﴿٧١﴾

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”.

Surah al-Baqarah ayat 67-71

Lihat bagaimana ‘information overload’ yang berlaku. Asalnya perintah supaya disembelih lembu betina. Kemudian menjadi lembu betina yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda iaitu umur pertengahan. Ditanya warna pula, berlarutan pula menjadi lembu betina pertengahan umur berwarna kuning tua dan disukai orang apabila melihatnya. Jenuh!

Saya pernah mendengar satu huraian tafsir oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap Surah al-Kahfi.

سَيَقُولُونَ ثَلَٰثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءً ظَٰهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا ﴿٢٢﴾

“Nanti (ada orang yang akan) mengatakan (jumlah mereka) adalah tiga orang yang keempat adalah anjingnya, dan (yang lain) mengatakan: “(jumlah mereka) adalah lima orang yang keenam adalah anjingnya”, sebagai tekaan terhadap barang yang ghaib; dan (yang lain lagi) mengatakan: “(jumlah mereka) tujuh orang, yang ke kelapan adalah anjingnya”. Katakanlah: “Tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka; tidak ada orang yang mengetahui (bilangan) mereka kecuali sedikit”. Kerana itu janganlah kamu (Muhammad) bertengkar tentang hal mereka, kecuali pertengkaran lahir saja dan jangan kamu menanyakan tentang mereka (pemuda-pemuda itu) kepada seorang pun di antara mereka.” – Surah al-Kahfi ayat 22

Mengapa Allah tidak memberitahu bilangan yang sebenar Ashabul Kahfi? Mengapa pula tidak disenaraikan pula nama-nama Ashabul Kahfi di dalam kisah ini. Bukankah ia bagus sebagai informasi kepada semua orang. Tidaklah perlu orang Islam mencari sumber lain untuk menjejak nama Ashabul Kahfi dan nama anjingnya sekali.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, antara tujuan Allah tidak memberitahu bilangan yang sebenar ialah Allah tidak mahu kita orang Islam terlalu sibuk dengan maklumat yang memberi manfaat apa pun dalam kehidupan kita. Jika kita mengetahui bilangan sebenar Ashabul Kahfi, adakah ia memberi apa-apa kepentingan dalam hidup kita melainkan ia sekadar informasi sahaja?

Apa yang penting ialah perjuangan mereka, usaha mereka menyelamatkan aqidah dan tidak tunduk kepada pemerintah yang zalim.

Apabila kita memperolehi terlalu banyak informasi, ia membuatkan kita sukar melihat apa yang penting dan signifikan. Berlaku kepada kita Information Bias. Kita akan nampak apa yang terserlah sahaja, dan tidak nampak apa yang signifikan untuk tindakan dan keputusan kita.

Kita tidak perlu kagum dengann hamparan informasi dan data yang dibentangkan. Kita perlu kagum dengan cara bagaimana ia dianalisis dan diteropong informasi itu.

Saifuddin Yusof
Suka menggodak Google sampai lebam.

Dapatkan ebook terbaru di sini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *