Asal Muasal Perkataan Jenero

Seingat saya dalam bulan Januari 2020. Tuan Fadzli Yusof Albasuti mengajak untuk sarapan bersama di gerai nasi berlauk di Taman Melewar. Beliau mahu membeli naskah Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Surah al-Fatihah.

Sampai di sana, Ustaz Khairul Anuar Basri yang kacak macak pun ada bersama. Memandangkan kami sekampung. Maka perbualan kami jadi meriah apabila berbual tentang perihal budaya tempatan Pantai Timur.

Antara isu yang kami sembangkan ialah maksud perkataan dalam dialek Kelantan. Pecah perut kami gelak bersama. Terlupa pula pacak kamera membuat live bersama. Asyik sangat berbual.

Antara yang menarik perkongsian Tuan Fadzli ialah perkataan jenero. Jenero dalam dialek Kelantan bermaksud tidur atau terlelap. Sebutannya je-ne-gho.

Menurut beliau, ada kemungkinan perkataan jenero itu datang daripada istilah perubatan iaitu berkaitan bius.

Ada 2 istilah bius yang biasa digunakan iaitu General Anaesthetic dan Local Anaesthetic.

General Anaesthetic itu untuk bius sepenuh badan manakala Local Anaesthetic pula untuk bius setempat di badan. Apabila bius sepenuh badan (General) maka pesakit akan tertidur. Ada kemungkinan muncul istilah jenero itu yang membawa maksud tidur atau terlelap.

Saya bertanya kepada kawan sekolah rendah yang sedang menyiapkan pakar dalam bidang bius Dr Nik Nurfazleen dari HUSM Kubang Kerian dan beliau mengesahkan wujud dua istilah bius itu.

Justeru, saya masukkan hasil dapatan ini di dalam Tafsir TGNA bagi Surah al-Nas, Surah al-Falaq dan Surah al-Ikhlas sebagai info tambahan.

Saifuddin Yusof
Ketua Projek Tafsir TGNA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *