7 Kelebihan Origami Untuk Kanak-kanak

Apabila mendengar pengumuman Menteri Pendidikan tentang persekolahan dalam musim menghadapi COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Anak-anak kita tidak akan melalui kehidupan seperti mana biasa berlaku hari normal persekolahan.

Bagi menghilangkan kebosanan anak-anak terutama yang masih kecil seperti pra-sekolah, darjah satu dan dua. Belum terlambat untuk mendorong minat mereka bermain kertas. Duit pun jimat. Banyak pula kebaikannya.

1- Origami ini melatih proses kepada anak-anak. Mereka akan melalui beberapa proses. Pertama proses ikut peraturan. Melipat kertas ada peraturannya. Mesti lipat cara sekian dulu, baru boleh lipat sekian pula. Tidak boleh melanggar langkah-langkah yang ditunjukkan dalam panduan yang disediakan atau melalui tunjuk ajar yang lebih mahir.

Walaupun ada sesetengah cara ada kaedah ‘shortcut’, tetapi cara itu hanya yang sudah betul-betul mahir dan sudah lama melibatkan diri dalam dunia origami. Hanya ada satu dua cara shortcut yang boleh diajar. Tetapi proses aturannya mesti ditunjukkan terlebih dahulu.

2. Melatih ketekunan. Origami ini memerlukan ketekunan. Semakin banyak lipatnya, semakin tekun diperlukan untuk menyiapkannya. Di sini kita boleh lihat adakah anak-anak kita mampu memberi fokus terhadap lipatan origaminya.

3. Melatih emosi. Melipat kertas untuk membuat origami bukan seperti anak-anak kita bermain game. Origami tidak ada keterujaan melampau seperti game yang menggangu emosi anak-anak. Tetapi origami ini akan melatih emosi anak-anak supaya tekun dan sabar melakukannya sehingga dapat disiapkan lipatan.

4. Pintu ke dunia buku. Origami ialah salah satu cara untuk anak-anak kita meminati bahan lain yang diperbuat daripada kertas iaitu buku. Membiasakan diri dengan kertas di usia kecil akan membuatkan anak-anak kita tidak kekok dengan kertas. Membuat sensori pancainderanya suka dengan kertas. Mereka tidak kekok apabila berhadapan dengan banyak kertas yang ada bau yang tersendiri. Bagi biblioholic, memasuki kedai dan menghidu bau kertas di dalam kedai merupakan satu nikmat bagi mereka. Justeru, origami merupakan pintu gerbang buat anak-anak untuk meminati dunia pengetahuan yang ada dalam buku.

5. Menghilangkan bosan. Ada anak-anak kita hidup dalam suasana yang sederhana. Tidak ada hanfon sendiri untuk bermain game. Hanfon ibu ayah pula biasa sahaja tidak boleh digunakan selalu. Mengajar kanak-kanak origami membuatkan mereka teruja dengan hasil lipatan yang mereka buat sehingga siap.

6. Memberi kefahaman tentang ‘practice make perfect’. Bagi anak-anak yang baru bermula melipat kertas. Lipatan peringkat awal sangat tidak cantik. Herot-herot lipatannya. Langsung tidak sama dengan panduan dalam buku origami. Bagi anak-anak yang mahu meningkatkan kualiti lipatan, mereka akan melipat lagi sehingga rupa bentuk hasil lipatannya semakin cantik. Di sini kita akan melatih anak-anak memberi dorongan dalam diri mereka sendiri (intrinsik) tentang melalui latihan, hasil kerja kita akan bertambah baik.

7. Meningkatkan daya ingatan. Melipat origami memerlukan kekuatan daya ingatan untuk mengingati langkah-langkah lipatan. Tidak mungkin kita terpaksa melihat panduan setiap kali mahu melipat origami yang pernah kita lipat. Maka lipatan origami itu akan diingati supaya memudahkan kerja kita apabila mahu melipatnya lagi di masa akan datang. Origami katak (gambar) itu adalah antara origami terawal yang saya belajar daripada abang saya. Bukan jet, bukan kapal layar. Ingatan cara lipatan origami katak ini, masih kekal hingga sekarang walaupun saya belajar melipatnya lebih 30 tahun yang lalu.

Setakat itu sahaja yang saya boleh kongsikan tentang kelebihan origami ini yang memberi kesan dalam hidup saya. Banyak lagi kebaikannya yang saya perolehi daripada origami ini. Di lain masa, saya akan kongsikan lagi, insya Allah.

Saifuddin Yusof
Pencinta Origami

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *